Monday, April 06, 2009

Era Ekonomi Baru

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi bahawa Malaysia kini semakin memberi tumpuan kepada perkhidmatan sebagai komponen utama pertumbuhan ekonomi berbanding pembuatan dengan keadaan kelembapan ekonomi semasa.

Sasaran berkenaan adalah bagi meningkatkan sumbangan sektor perkhidmatan kepada 70 peratus daripada keluaran dalam negara kasar berbanding 54 peratus sebagai sebahagian daripada model ekonomi yang mengamalkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan yang kurang bergantung terhadap eksport pembuatan, kata Najib.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual dengan akhbar "Financial Times" Khamis.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengenal pasti sektor perkhidmatan kewangan Islam sebagai bidang penting untuk pertumbuhan.

Malaysia kini merupakan pasaran bon Islam terbesar dunia. Ini berlaku selepas minat dalam kewangan Islam sebagai satu alternatif kepada model kapitalis barat, kata akhbar itu.

Barangan pembuatan kini menyumbang 72.5 peratus jumlah eksport berbanding 14.8 peratus untuk perkhidmatan. Sektor pembuatan menguncup sebanyak 8.8 peratus pada suku akhir 2008.

"Ini merupakan sebahagian daripada transformasi ekonomi Malaysia. Perkhidmatan menawarkan skop pertumbuhan yang hebat," kata Najib sehari selepas beliau mengumumkan pakej rangsangan kedua bernilai RM60 bilion.

Beliau berkata Malaysia merupakan antara ekonomi yang bergantung kepada perdagangan di dunia dan kemelesetan dunia mengkehendaki perubahan dalam struktur ekonominya.

Kerajaan dilaporkan meninjau cara untuk terus meliberalisasi sektor perkhidmatan dengan cara yang lebih menyeluruh sejajar dengan usaha yang diambil oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia dan Komuniti Ekonomi Asean kini.

Najib berkata Malaysia juga mahu mmeperluaskan sektor penjagaan kesihatannya dengan menarik lebih banyak pesakit luar negara.

Ia juga mahu menjadi pusat serantau bagi pendidikan dan eko-pelancongan.

Malaysia berharap untuk memberi lebih tumpuan kepada pembuatan nilai tambah yang tinggi dalam elektronik, bioteknologi teknologi mesra alam.

"Kami tidak lagi boleh bergantung kepada buruh murah untuk pembuatan kami," kata Najib.

Malaysia berhasrat untuk mengurangkan kebergantungannya terhad pasaran eksport tradisional di barat seperti Amerika Syarikat, dengan memperluaskan rangkaian dengan Asia Tenggara, India, Timur Tengah dan China.

Mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB), Najib berkata beliau memilih pembaharuan secara beransur-ansur dalam dasar bagi membantu menyokong penstrukturan semula ekonomi. "Kita perlu menerima dasar yang dibuat untuk mengikut perubahan masa."

Bagaimanapun beliau berkata: "Kami tidak boleh mempunyai langkah drastik sehingga rakyat bersedia untuknya."

Najib berkata peraturan untuk pelaburan asing seperti kuota terhadap ekuiti bumiputera dalam sektor perkhidmatan akan dilonggarkan.

Beliau berkata DEB telah berjaya meningkatkan taraf hidup majoriti penduduk tetapi turut mengakui terdapat beberapa kesilapan dalam pelaksanaannya.

Laporan itu juga memetik beliau sebagai berkata yang beliau berhasrat untuk mengembalikan wawasan asal bapanya untuk meningkatkan kehidupan golongan miskin semua kumpulan bangsa.

Bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak, merupakan perdana menteri semasa DEB diperkenalkan pada 1971.



-- BERNAMA